Khamis, 14 April 2011

SYABAS perjelas masalah gangguan air di Kampung Kerdas

SYARIKAT Bekalan Air Selangor (SYABAS) ingin menjelaskan aduan yang diterima daripada 'PENGGUNA MALANG' pada 5 Mac lalu berhubung gangguan bekalan air di kawasan Kampung Kerdas, Gombak. 

Mengikut rekod kami, sejumlah 120 kes paip bocor berlaku di Kampung Kerdas dari Januari 2010 hingga 21 Mac lalu. Rekod juga menunjukkan bahawa terdapat 55 kes aduan tekanan air rendah dan 79 kes aduan ketiadaan bekalan air di sekitar kawasan berkenaan.



Kami sudah mengenal pasti salah satu punca gangguan bekalan air adalah disebabkan oleh pembinaan dan pembangunan tidak terancang di kampung ini. Selain itu, SYABAS juga mendapati jajaran paip air sedia ada di kawasan itu adalah dari jenis Simen Asbestos berusia 25 tahun dan kerap mengalami kebocoran disebabkan usia paip usang.

Kampung Kerdas disenaraikan sebagai Zon Permeteran Wilayah yang mana tekanan air dikawal dengan menggunakan injap kawalan tekanan bagi mengelakkan kejadian paip pecah. 

Bagi menyelesaikan masalah itu, SYABAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan lawatan ke tapak berkenaan pada 14 Mac lalu dan mengambil tindakan meningkatkan tekanan air dari lapan meter kepada 11 meter. 

Penyelesaian terbaik bagi isu itu adalah dengan menggantikan paip jajaran utama yang usang di Kampung Kerdas. Projek itu terpaksa ditangguhkan berikutan arahan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan semua program pengurangan air tanpa hasil (NRW) dan Program Penggantian Paip Lama sehingga cadangan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selesai sepenuhnya. 
ABDUL HALEM MAT SOM, 
Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS
 


Jangan Bazir Air ye

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...