Rabu, 20 April 2011

Projek air bawah tanah Sime Darby guna teknologi canggih




KUALA LUMPUR: Sime Darby Berhad menggunakan teknologi canggih yang terkini dan khidmat peneraju industri pada peringkat global untuk melaksanakan projek pembangunan sumber air bawah tanah yang dirintis di daerah Batang Padang, Perak.

Justeru, syarikat berkenaan menegaskan, tidak timbul persoalan mengenai keupayaan tenaga pakar dan juga teknologi yang digunakan bagi memastikan kesinambungan daya maju serta kemapanan projek berkenaan.


Menurut kenyataan akhbar syarikat itu, antara faktor Batang Padang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek rintis itu ialah kawasan terbabit memperoleh taburan hujan tahunan yang tinggi, iaitu hampir 3,300 milimeter.

“Air bawah tanah adalah sumber air yang mapan dan boleh dipercayai jika dikeluarkan dengan betul menggunakan kaedah serta teknologi bersesuaian. Fakta ini sudah terbukti di negara seperti Denmark di mana 100 peratus air digunakan adalah sumber dari bawah tanah.

“Air bawah tanah bukan saja suatu sumber mesra alam kerana hanya menyebabkan gangguan minimum kepada kawasan permukaan tanah tetapi juga adalah sumber air mapan kerana ia boleh dibangunkan secara berperingkat bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

“Kaedah ini bukan baru. Negara lain yang menggunakan air bawah tanah secara meluas termasuk Jerman, Switzerland, England, Australia dan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan akhbar itu di sini, semalam.

Terdahulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pada sidang media di Petaling Jaya, semalam, membantah projek pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang oleh Sime Darby Berhad yang bertujuan membekal air mentah ke kawasan Lembah Klang dan akan melakukan pengekstrakan antara 50 hingga 500 juta liter setiap hari (MLD).

Bantahan terhadap projek itu dilakukan kerana apabila pengekstrakan air bawah tanah melebihi kadar penggantian menerusi proses semula jadi maka ia akan mengakibatkan penenggelaman tanah, percampuran air laut, penurunan paras air atau kadar aliran masuk dan impak kepada persekitaran ekosistem.

Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu, berkata sebagai tanda bantahan, pihaknya menghantar surat dan e-mel kepada Pejabat Perdana Menteri, semua Menteri Besar dan kementerian berkaitan supaya mereka turut sama membantah projek berkenaan, Khamis lalu.

Kenyataan Sime Darby seterusnya menjelaskan, pihaknya sudah menyampaikan fakta berkenaan kepada Fomca dan mempelawa untuk mengadakan suatu sesi dialog mengenai perkara itu, beberapa bulan lalu, tetapi Fomca enggan bersemuka dengan tenaga pakar mereka.


Jangan Bazir Air ye

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...