Rumah Panjang Jelani bakal nikmati kemudahan bekalan air bersih. |
KANOWIT: Walaupun terletak di luar bandar, kebajikan penghuni rumah panjang tidak pernah diabaikan, malah peruntukan puluhan juta ringgit disalurkan kerajaan. Antara yang bertuah adalah lebih 350 penghuni Rumah Panjang Jelani, di sini yang akan menerima bekalan air bersih tidak lama lagi selepas kerajaan negeri memperuntukkan RM32 juta bagi membiayai projek loji rawatan sumber berkenaan.Ketika ini, perunding dilantik sedang menjalankan kerja kajian pembinaan loji itu yang dijangka turut memanfaatkan penduduk di kawasan sekitar rumah panjang berkenaan.
Rumah panjang Iban yang mempunyai 66 pintu itu terletak di tepi Sungai Kanowit, kira-kira 20 minit perjalanan dari pekan ini.
Suri rumah, Hasnah Lasa, 32, berkata penduduk rumah panjang terpaksa menadah air hujan dan air sungai untuk kegunaan harian seperti mandi dan membasuh pakaian.
“Air sungai keruh tidak sesuai untuk minum. Kadang-kadang kami perlu beli air mineral di pekan untuk minum tetapi harganya mahal," kata ibu muda yang mempunyai empat anak itu kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Tinjauan Berita Harian ke penempatan itu mendapati terdapat saluran paip dipasang, namun bekalan air sering terputus kerana masalah tekanan air rendah.
Penoreh getah, Odelia Lasa, 38, berkata masalah bekalan air semakin menekan sejak beberapa bulan lalu kerana kemarau.
“Kami penduduk rumah panjang harap masalah air dapat diselesaikan dengan pembinaan loji air itu. Sudah lama kami paip air tapi airnya tiada, jadi terpaksa guna air sungai atau air hujan. Kalau musim panas macam sekarang susah kami nak buat kerja," katanya mengakui tidak menghadapi masalah bekalan elektrik.
Bagi pesara guru, Peter Empang, 58, yang baru berpindah berdekatan rumah panjang berkenaan, dia berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan bekalan elektrik ke rumahnya yang didiami bersama isteri dan anak berusia empat tahun.
“Saya tak mampu nak sambung elektrik sendiri kerana kosnya terlalu tinggi mencecah ribuan ringgit. Tapi saya harap kerajaan Barisan Nasional (BN) akan pertimbangkan permohonan saya," kata bekas guru bahasa dan pengajian seni di Sekolah Kebangsaan Batu Luking itu.
Pada satu majlis pemimpin bersama rakyat di rumah panjang itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Datuk Gramong Juna yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan, berkata projek loji rawatan air itu akan bermula Mei depan dan dijangka menyelesaikan masalah bekalan air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan